Sunday, January 23, 2011

Kasih dan sayang sesama manusia

Seorang wanita Muslimah yang telah menyedari tentang hukum-hukum agamanya, dan telah melaksanakannya dalam kehidupan seharian, maka dengan sendirinya akan timbul dari lubuk hatinya kasih sayang dengan sesama manusia. Mata air rahmat sentiasa terpancar dari lubuk hatinya, kerana menyedari bahawasanya mengasihi hamba-hamba Allah yang berada di bumi menjadi sebab untuknya menerima rahmat dari langit.

Rasulullah SAW bersabda:
"Kasihilah siapa yang dibumi supaya kamu akan dikasihi oleh sesiapa yang dilangit." (HR Tabrani)

"Sesiapa yang tidak mengasihi manusia, Allah swt tidak mengasihinya." (HR Tabrani).

"Kamu tidak akan beriman sehingga kamu berkasih sayang. Mereka berkata "Kami semua pengasih." Rassulullah kembali bersabda;" Sesungguhnya bukanlah mengasihi seseorang akan sahabatnya sahaja, akan tetapi membawa rahmat kepada manusia, mengasihi seluruhnya." (HR Tabrani).



Wahai ukhti Muslimah, Inilah dia kasih sayang yang menyeluruh, rahmat yang meliputi semua manusia. Tidak mengira agamanya dan bangsanya seseorang itu. Inilah pula yang diletakkan oleh Islam dalam hati seorang yang benar-benar muslim. Dengan demikian,masyarakat Islam akan menjadi masyarakat yang berkasih sayang antara satu dengan yang lain seperti kata peribahasa;"Cubit kaki kanan, kaki kiri yang merasa sakitnya."

Begitulah wahai Muslimah sekelian, andai kita mempunyai jiran yang serba kekurangan bantulah mereka sedaya termampu,walaupun ia tidak seagama tidak sebangsa, kerana Rasulullah saw membenarkan kita mengasihi seluruh makhluk yang bernama 'Manusia'. Agar mereka melihat, apakah itu 'Islam' yang sebenarnya. Wallu'alam..Semoga nota kali ini dapat membantu rakan2 muslimah kita dalam hidup kita seharian, dan mudah-mudahan perkongsian ini dapat disebarkan dan dikongsi dengan rakan2 muslimah kita yang lain..Insyaallah..

No comments:

Post a Comment